Pages

Search This Blog

Showing posts with label JODOH/PERNIKAHAN. Show all posts
Showing posts with label JODOH/PERNIKAHAN. Show all posts

Friday, April 8, 2011

SIAPAKAH NANTI CINTA UNTUK KU (BICARA JODOH)

Assalamualaikum wr wb.
Salam pagi Jumaat yang penuh berkah.
Pagi ini Ate Jiwang Skit (Sikit jer tak banyak). Gara-gara malam tadi membaca 
Entry Brani Cik Munge tentang Humaira' pipi yang merah-merah berdarah.
 Suatu pengakuan yang Ikhlas dan sungguh..
 Ate terkedu terharu membacanya.
Ate tahu ramai golongan Pra-ANDALUSIA* mahupun ANDALUSIA* Amateur 
(dari segi umur dan pengalaman) yang mempunyai rasa hati yang sama, 
tapi malu nak berbagi rasa. Pasal kerisauan
 menanti jodoh yang belum kunjung tiba ini, tidak semua orang 
benar-benar memahaminya (bukan langsung tak faham tapi
 kurang memahami bila tidak mengalami). Jodoh sememangnya di tangan Allah. 
Tak de siapa boleh nak pertikaikan. Tapi  jika tidak dijemput jodoh tu...
ianya tetap di tangan Allah. Maksudnya kita kena usahalah. Usaha yang macamana?
 Seharusnya yang Islami dan di redhai Allah agar barakah.
Macam mana cara-cara nak membuat adunan jodoh yang barakah tu?
Hah..yang ni Ate belum lagi dapat memberikan pandangan dan saranan pribadi 
kerana sibuk dengan tugas menanti cinta yang harus di selesaikan sebelum Ahad ini. Insyallah Ate akan citer di entry akan datang. Tapi sementara tu kalau nak tau serba sedikit clue bagaimana nak dapatkan jodoh yang barakah cuba lah selak-selak sikit langsir novel-novel Habiburrahman El Shirazy. 

1. Ayat-ayat Cinta.
2. Ketika Cinta Bertasbih.
3. Dalam Mihrab Cinta
Dibawah ini ada petikan film Novel Dalam Mihrab Cinta dan juga lagu Menanti Jodoh (OST Ketika Cinta Bertasbih). Hayati lah...
Matanya berkaca-kaca. Kalau tidak ada kekuatan iman di dada, dia mungkin telah memilih sirna dari dunia. Ujian yang dia derita sangat berbeza dengan orang-orang seusianya. Banyak yang memandangnya sukses. 
Hidup berkecukupan. Punya pekerjaan yang terhormat dan bisa di banggakan.
Bagaimana tidak, dia berjaya meraih gelar Master in Engineering dari sebuah Institut Teknologi paling terkenal di negeri ini. Dan kini dia bekerja sebagai tenaga pengajar tetap di universitas swasta terkemuka di ibukota. 
Bagi  perempuan seusianya, nyaris tidak ada yang kurang pada dirinya. Sudah beberapa kali dia mendengar pujian tentang kejayaannya. Hanya dia seorang yang tahu bahawa sebenarnya,  dia sangat menderita. Ada satu hal yang dia tangisi setiap malam. Setiap kali bermunajat kepada Sang Pencipta siang dan malam. Dia menangisi takdirnya sebagai perawan tua yang juga belum menemukan jodohnya. Dalam kehidupan sehariannya dia nampak biasa dan ceria. 
Dia menyembunyikan derita dan sedihnya dengan sikap tenang. Umurnya  sudah tidak  muda lagi. Tiga  puluh  empat tahun. Teman-teman seusia ada yang memiliki anak dua, tiga, empat, bahkan ada yang lima. Tiba-tiba  airmata Zahrana kembali keluar. "Bahagianya punya anak. Kau beruntung Lin. Punya suami baik. Anak lucu-lucu. Keluarga besar yang penuh kasih sayang. Sementara aku...  Jangankan anak. Suami saja tidak punya. Baru mau punya sudah di panggil pergi..." Kata Zahrana sambil menangis memandang langit-langit kamar rumah sakit. "Sudahlah Rana. Sudahlah. Hanya belum tiba saatnya saja. Nanti kalau tiba saatnya, Insyallah, kau akan memiliki yang lebih baik dari yang aku miliki."
"Entahlah Lin, harapanku sudah pupus. Aku merasa tidak berghairah hidup lagi."
"Tidak Rana. Kau tidak boleh pupus harapan. Ingatlah Allah Maha luas kasih sayang Nya. Percayalah ini cuma ujian kecil. Masih banyak hamba Allah di muka bumi ini yang diuji dengan ujian yang jauh lebih besar dari yang kau alami.  Ayuhlah Rana, kau harus terus maju! Kau tak boleh menyerah. Putus asa bererti kau menyerahkan dirimu dalam perangkap syaitan!"
"Ya...doakan aku ya Lin. Semoga aku kuat. Tapi bagiku ini sangat berat!"
"Aku tahu ini berat, tapi aku yakin kau mampu menghadapinya Rana. Kau mampu."
Petikan Novelet DALAM MIHRAB CINTA:TAKBIR CINTA ZAHRANA: Habiburrahman El Shirazy.
(Ate lagi doyan banget sama nih lagu)

Jodoh itu rezeki. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, Insya Allah, Allah akan memberinya jodoh dari arah yang tiada disangkanya. 
*Note: ANDALUSIA (Anak Dara Lanjut Usia) 


Saturday, March 19, 2011

BILA JODOH TAK KUNJUNG DATANG

"Oh ibu. Usia mengejarku..semakin hari usiaku semakin lanjut. Mengapa belum datang barang seorang pun pemuda malamar ku? Apakah aku akan menjadi Andalusia* seumur hidupku?" Begitulah kira-kiranya, keluhan seorang wanita Mekah dari Bani Ma’zhum yang kaya raya bernama Rithah al-Hamqa. 

Luluh dan sedih hati sang ibu, mendengar rintihan anak kesayangan. Maka sang ibu pun sibuklah ke sana ke mari, berusaha berbagai cara untuk mencarikan jodoh buat anakanda tercinta.  Ramailah Bomoh bin Pawang yang ditemuinya,  tah berapa tempayan air bunga telah di mandikannya dan banyak sungguh wang yang di belanjakan dalam usaha mencarikan jodoh buat si anak.  Namun, segala usaha sang ibu masih belum menampakkan apa-apa hasil. Ternyata semua janji-janji manis yang di taburkan oleh para Bomoh bin Pawang itu hanyalah kebohongan semata-mata. Masa terus berlalu. Setelah sekian lama menunggu tak seorang pemuda pun datang melamar.  

Maka bertambah sedihlah Rithah.  Semakin hari semakin merana.  Setiap hari bermuram durja,  makan tak basah, tidur tak kenyang, mandi tak lena menanti jodoh yang tak kunjung tiba. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba.. pada suatu hari, ibu saudaranya yang berasal dari luar negara daerah lain datang,  memperkenalkan Rithah dengan seorang pemuda bujang trang tang tang belia, yang kacak lagi bergaya untuk dijodohkan dengannya.  Sukanya Rithah bukan kepalang, penantian jodohnya berakhir juga.  Maka menikahlah Rithah yang telah berusia dengan pemuda belia tersebut.  

Tapi sayang seribu kali sayang, pemuda kacak lagi bergaya itu, mempunyai niat yang tak baik (aku dah agak dah).  Pernikahannya dengan wanita Bani Ma'zhum yang berusia itu ternyata ada udang di sebalik mee batu. Rupa-rupanya pemuda tersebut hanya bercita-cita untuk mendapatkan harta kekayaan Rithah.  Setelah berjaya memperolehinya, pemuda itu pun pergi meninggalkan Rithah terkontang kanting seorang diri.  Malang sungguh nasib Rithah. Menanggis tak berlagu lah Rithah, sedih tak terperi, mengenang akan nasib diri.  Hilang suami, hilang harta.  Hidup sepi tak lagi bermakna.  

Melayani kesedihan dan kemurungannya, Rithah membeli beratus-ratus gulung benang untuk dipintal (ditenun) dan setelah jadi hasil tenunannya, dia menguraikannya semula menjadi benang. Kemudian di tenun lagi dan di uraikan lagi, berulang-ulang kali, dan lagi dan lagi.  Begitulah seterusnya dia menjalani sisa-sisa hidup.

Al Qur’an mengabadikan kisah gadis Bani Ma’zhum ini dalam surat An-Nahl:92: “Dan janganlah kamu seperti perempuan yang menguraikan benangnya, yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi bercerai-berai kembali…” Yang dimaksud di dalam Qur’an tentang ‘wanita pengurai benang yang telah dipintal’ itu tidak lain tidak bukan adalah Rithah Al-Hamqa. Dalam ayat tersebut, Allah melarang kita berkelakuan seperti Rithah dalam menghadapi masalah jodoh. 

Banyak ibrah yang dapat kita petik dari sepenggal kisah gadis kaya keturunan Bani Ma’zhum tersebut. Kisah Rithah mengajarkan kita, bahwa jodoh sebenarnya merupakan urusan Allah. Jodoh tidak dapat dihindari walaupun pada waktu kita belum menginginkannya dan begitu juga sebaliknya. Jodoh tidak dapat dikejar walaupun ketika itu, kita sudah teramat sangat ingin mendapatkannya. Bukankah Rasulullah telah bersabda: “Ketika ditiupkan ruh pada anak manusia tatkala ia masih di dalam perut ibunya sudah ditetapkan ajalnya, rezekinya, jodohnya dan celaka atau bahagianya di akhirat”.  Kerana Allah telah menentukan jodoh kita, maka tidak layak bagi kita untuk bimbang dan risau seperti Rithah. Kalau sudah sampai waktunya jodoh itu pasti akan datang.
 Sedih masih hidup sendiri? Bersabarlah. Allah bersama mu.

Episod Rithah juga mengajarkan kita untuk  berikhtiar dan berusaha dalam menanti kehadiran jodoh. Berbagai usaha boleh dilakukan asal tidak melanggar syariat dan hukum Allah. Kalau ibu Rithah berjumpa dengan berbagai Bomoh bin Pawang agar anaknya bertemu jodoh, tapi bagi kita, tentu lah meminta itu hanya kepada Allah Maha Pengabul Doa. Allah telah berfirman: “Dan apabila hamba-Ku bertanya tentang Aku, maka jawablah bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang-orang yang berdoa kepada-Ku…” (2:186)

Dengan ayat tersebut, Allah memberikan harapan yang sebesar-besarnya kepada kita, bahwa setiap doa yang disampaikan kepada Nya pasti akan dikabulkan. Allah tidak mungkin memungkiri janji, siapa yang paling tepat janjinya selain Allah? Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Tarmizi dan lbnu Majah, Rasululullah bersabda tentang masalah doa, “Sesungguhnya Allah malu terhadap seseorang yang menadahkan tangannya berdoa meminta kebaikan kepada-Nya, kemudian menolaknya dalam keadaan hampa.”

lbrah seterusnya yang dapat kita petik ialah, memupuk sifat sabar dalam menghadapi jodoh yang mungkin belum juga menghampiri kita padahal usia kita telah pun sampai date line semakin senja. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah:45, “Dan jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya yang demikian itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, yaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Rabbnya, dan mereka akan kembali padaNya.”

Sabar dan solat akan menjadikan kita 'kebal' dari desakan orang sekeliling yang kurang memahami dan membentengi diri kita dari godaan syaitan yang sentiasa berharap agar kita salah langkah dalam masalah jodoh ini. Masalah ini sering ditanggung oleh ramai wanita yang sudah layak menikah namun belum ada lagi lelaki yang baik dan soleh datang meminang. Ini merupakan ujian yang sesuai dengan ketetapan Allah. 
 Menjaga kemurniaan niat untuk menikah.

Di samping itu, kita juga harus tetap menjaga kemurnian niat kita untuk menikah. Jangan kerana usia yang semakin senja serta tidak tahan mendengar umpatan orang sekeliling menjadikan kita terburu-buru menikah dengan sesiapa sahaja yang masuk meminang.  ltu semua tidak akan menghasilkan suatu rumahtangga Islam yang sakinah mawaddah wa rahmah (samara) yang kita harapkan. Ini kerana kekukuhan rumahtangga kita adalah seiring dengan kuatnya landasan iman dan niat ikhlas kita. Sungguh beruntung sekali menjadi orang-orang mukmin. Tatkala mendapat ujian (termasuk jodoh) ia akan bersabar maka sabarnya menjadi kebaikan baginya. Dan ketika mendapat nikmat dia bersyukur, maka kesyukurannya itu menjadi baik pula baginya.

Kisah gadis Bani Ma’zhum itu juga memberikan nasihat pada manusia di zaman setelahnya, bahawa jodoh merupakan amanah Allah. Amanah hanya akan diberikan kepada seseorang yang dianggap telah mampu memikulnya kerana amanah merupakan sesuatu yang harus dipelihara dengan baik dan di pertanggungjawabkan. Ketika kita belum dikurniakan amanah jodoh oleh Allah, mungkin belum waktunya untuk kita memikul amanah tersebut. Sikap kita yang paling baik dalam hal ini adalah sentiasa berbaik sangka (husnudzon) kepada Nya. Kerana sesuatu yang kita cintai atau sesuatu yang kita anggap baik (jodoh) belum tentu baik bagi kita menurut Allah. Begitu pula sebaliknya sesuatu yang kita anggap buruk bagi diri kita belum tentu buruk menurut ilmu Allah. “Boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal sesuatu itu amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu. Kamu tidak mengetahui sedangkan Allah Maha Mengetahui.” (QS. 2:216)

Terakhir, kisah Rithah memberikan ibrah kepada kita untuk mengarahkan cinta (mahabbah) tertinggi kita kepada yang memang berhak memilikinya. Cinta Rithah yang begitu tinggi diarahkan kepada makhluk (suaminya), hingga membuat dia ‘gila sasau’. Bagi kita, tentu cinta yang tertinggi itu hanya patut dipersembahkan buat yang Maha A’la pula (Khaliq). Bukankah salah satu ciri mukmin adalah asyaddu huballillah adapun orang-orang yang beriman itu amat sangat cintanya kepada Allah (asyaddu huballillah). (QS. 2:165).  Jika arah cinta kita sudah benar, maka yakinlah, Allah SWT tidak akan mengabaikan kehidupan kita.
Wallahua’lam bissawab.

Petikan dari Learn Something by Tomy dan diolah mengikut perisa AteNoMoto.

Note: ANDALUSIA (Meminjam istilah Magika: Anak dara lanjut usia) 

Friday, February 18, 2011

BERCERITA TENTANG JODOH


Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.
Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.
Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.
“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook danTwitter?” gurau saya.
“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”
Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.
“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis mengapa putus?”
“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”
Wah, ini kisah cinta yang  dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah
“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”
Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”
Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”
Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”

Cantik Itu Relatif dan Subjektif
“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.
Dia ketawa tiba-tiba.
“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”
Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?
“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud abang?”
Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.
Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”

Wasilah Memilih Jodoh
“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.
“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”
“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”
“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.
Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”
‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik
“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”
“Tak mengapa. Kalau begitu, guna cara pertama, jadilah orang yang baik.”
“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.
Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”
Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.
“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”
Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”
“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.
“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”
“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”
“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”
“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”
Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah
“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”
“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”
Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!
“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”
“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”
“Hikmah untuk kita?”
“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya  pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”
Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”
P/S
Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.
Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar, merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.
Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.
Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.
Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku -  ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.
Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!
Petikan Dari: Gentarasa
Saat membaca artikel ini terbayang diruang mata Ate Insan-insan istimewa yang dekat dihati jauh di mata..Anakanda Mohd Ahmad Alrashid, Abu Ubaidah dan Abdullah Azzam. Tidak lupa juga Adinda yang dikasihi MK Anuar. Yakinlah 'kami' senantiasa menginginkan dan mendoakan yang terbaik buat kalian.