RAKAMAN UCAPAN
SETINGGI-TINGGI TERIMA KASIH
Kepada Adinda:
Haji Mohd Fahmi Bin Haji Mohd Yusof
&
Hajah Rosidah Binti Ahmad
Di atas
Segala Pengorbanan, Perihatin, Kasih Sayang,
Khidmat Bakti Dan Jariah Yang Tercurah
Selama 24 Tahun.
Memelihara Dan Menjaga Kebajikan Untuk
Almarhumah Emak Tersayang Semasa Hayatnya.
"JAZAKALLAHU KHAIRAN KATHIRA"
(Semuga Allah Membalas Kebajikan Yang Sebanyak-banyaknya Kepada Adinda Berdua. Amin)
Dengan Ingatan Kasih Mesra
Setulus Rasa daripada Kekanda:
Muhammad & Siti Sekeluarga
Johor Bahru15 MAC 1999
Mac 1999..12 Tahun yang lalu. Abah mengirimkan surat penghargaan ini kepada adik bongsunya yang telah mencurahkan kasih dan khidmat baktinya menjaga bunda mereka, nenek Ate. Abah selalu begitu..suka memberi penghargaan, bukan dengan wang ringgit kerana abah bukan seorang yang berada tetapi sering dizahirkan melalui untaian kata yang ditulis.
Selepas pemergian nenek, abah selalu mengadu dengan Kak Long, hampir setiap malam dia mimpikan nenek. "Mungkin nenek 'perlukan bantuan abah'. Abah banyakkanlah lagi solat malam dan doa untuk nenek." Kata Kak Long. Sejak dari itu, abah banyak berubah. Sebelum nenek meninggal dunia, setiap kali kami anak cucunya balik, Abah pasti meraikan kami dengan bersembang dan sibuk membelikan makanan kegemaran kami di gerai-gerai tertentu. Untuk sarapan sahaja, tidak hairan kalau abah menyinggah sehingga 5 gerai di kawasan yang berbeza, semata-mata untuk mendapatkan makanan yang paling sedap mengikut kegemaran setiap satu anak cucunya.
Setelah pemergian nenek abah kurang bersembang dan meraikan kami pun hanya seadanya kerana masa abah lebih banyak di habiskan dengan tilawah Al Quran. Tapi ketika aqiqah 2 cucunya, dia 'bersesoh' beria-ia nak memasak sendiri nasi beriani.
Beberapa minggu kemudian dia mengadu sering sakit dada. Ah Wong kata bagus kalau dapat check di KL, kerana Ah Wong ada teman Cardiologist. Lagi pun dengan 'pas sebagai Medical Lecturer' mudah bagi Ah Wong nak keluar masuk hospital tengok abah.
Sampai KL, Sabtu tengahari itu, abah kata dia nak makan 'berjemaah' dengan anak-anak. Petangnya abah ke hospital dengan Ah Wong. Ahad di ward, abah meminta Kak Bayu masakkan cekodok ikan bilis beserta sosnya. Dia juga meminta Ate membelikan dia akhbar 'H'. Abah tak biasa menyuruh-nyuruh. Abah juga tak suka menyusahkan orang walau anak isterinya. Dia di susahkan tak apa. Tapi hari Ahad itu, abah buat banyak permintaan. Bila Ate lupa membelikan akhbar yang diminta secara berseloroh dia berkata "Konyok awak..Selalu lupa."
Isnin abah buat stress test. Ketika stress test tiba-tiba abah jatuh, kena stroke. Abah yang terkenal 'riuh' berusaha berkomunikasi, tapi bahasanya tidak kami fahami. Jururawat yang jaga ward abah pada masa itu, sedih melihatkan keadaan abah. Mereka kata "Pak cik ni baik, ramah dan suka bergurau. Masa hantar dia buat stress test tadi dia sibuk berbual dan gembira aja. Tak sangka dia macam ni sekarang."
Selasa, abah hanya diam, tidak cuba berkomunikasi seperti hari sebelumnya. Dia hanya memejamkan matanya, sesekali airmatanya mengalir. Petang itu Kak Long berbisik di telinga abah.."Abah, abah jangan susah hati. Sasa akan jaga adik-adik dan ibu." Airmata abah mengalir lebih laju dari deraian airmata Kak Long. Saudara mara dan sahabat handai mula datang tanpa henti.
Malam, Ate membawa Kak Long dan Kak Ngah (kedua-duanya baru habis pantang) pulang bersama anak-anak. Di hospital, Kak Bayu menemani ibu dan Ah Wong pula tanpa henti mengaji disisi abah. Jam 4.50 pagi Kak Long terjaga. "Ate, bangun bukak pintu. Ah Wong dah balik tu." Terpisat-pisat Ate menjengah ke luar.
"Mana ada orang?"
"Ada, saya dengar orang beri salam dan ketuk pintu tadi."
"Awak mimpi kot?"
"Tidak, saya dengar, jelas."
Tiba-tiba telefon berdering, terdengar sedu sedan Kak Bayu, "Abah dah tak ada." Innalillahiwainnailaihirojiun.
7 April 1999, jam 4.50 pagi...Abah pergi menemui Pemiliknya. Pergi yang tidak kan kembali lagi. Meninggalkan station kenangan yang tak terlupakan.
Abah, sungguh aku rindu kepadamu.
Ingin sekali aku ungkapkan,
"Abah, anakmu ini sangat menyayangimu."
Tapi sayang semuanya telah terlambat.
Hanya doa yang bisa ku titipkan. Moga rohmu aman disisiNya.
"SUNGGUH, AKAN AKU TAMBAHKAN SOLATKU KERANAMU, AGAR AKU SELALU DIJAGA (ALLAH) UNTUKMU."
Kata-kata Said bin Musayyid kepada anaknya.

