Pages

Search This Blog

Monday, February 20, 2012

ANTARA SIAKAP SENOHONG DAN AL AMIN

Pernah tengok citer di atas? Zookeeper, lakonan Kevin James. Ate tak minat sangat nak menonton citer tu, tapi Imad (anak sedara) sibuk dok pujuk minta temankan dia, jadi Ate tontonlah walau dalam keadaan separa sedar (ngantuk..pasal makan piriton). Ada satu adegan menarik perhatian Ate iaitu ketika James bersembang dengan Gorilla bernama Bernie yang dikurung di kandang tertutup atas tuduhan KONONnya dia menyerang Shane, sorang lagi zoo keeper. Atas 'fitnah' itu, Bernie kata dia dah tak percayakan manusia lagi. "I guess that's just what human do. They lie." Manusia selalu berbohong? Betul ke kata si Bernie Gorilla tu?

Jom kita semak balik kehidupan kita sehari-hari. Ada tak kita berbohong? Tak ada? Ye ke tak de? Pasti? Dengan anak? Anak usia 3 tahun tengok kita sibuk keletak keletuk depan PC/Laptop/Tablet Mobile, anak bertanya, "Ayah main game apa?" "Ishhh.. Mana ade. Ayah tak main, ayah wat keja." "Ayah wat keja game apa?" Haaa...Kantoi. Ayah terperangkap dengan pembohongan cover line (PCL). (Anak zaman sekarang cerdik weiii, betul tak Pn Aimi?? Hehehe). 

Antara suami isteri? "Abang, bila nak kuar office jemput ayang ni?" "OTW, OTW." Padahal belum keluar pun dari pintu opis. Pembohongan penyelamatan diri (PPD): Biasa di lakukan untuk keharmonian rumahtangga. Dengan salesman yang datang rumah, dengan spontan binti selamba kita melaung dari celah tingkap, "Mak tak de." atau "Ibu, nggak ada di rumah, saya bibik aja." Itu namanya Pembohongan Malas Layan (PML). 

Bagaimana dengan jiran? Sesama teman sepejabat/sekerja? Dengan boss? Dengan pelanggan? Dengan rakyat??? Siapa lagi? Dalam kita berinteraksi sesama manusia dengan siapa kita tidak pernah berbohong? Mane ade? Kita tak pernah bohong tau... Kita cuma bohong sunat jer.  Oho, kerana ingin menghalalkan sesuatu maka kita merekayasa istilah bohong sunat. 

Pepatah Melayu ada mengatakan; "Siakap senohong. Gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri." Pepatah ini ada benarnya. Pembohongan demi pembohongan akan menyeret kepada keburukan demi keburukan sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Hendaklah kamu semua bersifat jujur (benar), kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa jujur dan mencari kejujuran akan ditulis oleh Allah sebagai seorang yang jujur (Siddiq). Dan jauhilah sifat bohong kerana kebohongan akan mengarah pada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Orang yang selalu berbohong dan mencari-cari kebohongan akan ditulis oleh Allah sebagai pendusta". (HR Bukhari-Muslim dari Ibnu Mas'ud)

Teringat Ate tentang kisah pada zaman Rasulullah saw. Ada seseorang yang terkenal dengan sikap suka melakukan maksiat, nak masuk Islam. Lalu dia pun berjumpa dengan Rasulullah. Dia cakap, "Ya Muhammad, aku ni nak masuk Islam. Tapi kan, aku masih suka nak lakukan maksiat. Camne ek?" Rasullullah mempersilakan orang tu tuk masuk Islam dan lakukanlah apa juga perkara yang dia suka tapi dengan satu syarat: JANGAN BERBOHONG.

"Satu jer? Laa.. Senang sangat nak masuk Islam ni. Okay lah, aku setuju." Tanpa ragu-ragu, dia pun masuk Islam. Selepas tu, Rasulullah selalu bertemu dengan dia dan bertanya, apa yang dia lakukan setiap hari. Orang tu serba salah bila setiap kali ditanya, dia terpaksa mengaku dia melakukan maksiat sekian, sekian. Nak berbohong, tak boleh, pasal dia dah berjanji dengan Rasulullah untuk tidak berbohong. Akhirnya setiap kali dia nak melakukan maksiat, dia fikir beribu kali... Takut nanti bila Rasulullah tanya, malu lah dia nak menjawab. Dipendekkan cerita, akhirnya dia mula meninggalkan perbuatan maksiat dan rajin beribadah.


Haa.. Nampak tak bagaimana dengan sifat jujur/berkata benar/tidak berbohong itu, meninggalkan impak yang positif? Pelaku maksiat pun berubah menjadi orang yang baik. Sebab tu hobi berbohong ni tak boleh dijadikan kebiasaan. Bukan sahaja sebab berdosa, tapi bila dah jadi habit, pembohongan demi pembohongan akan mengakibatkan terhakisnya kejujuran. Tanpa kejujuran, akan menimbulkan krisis kepercayaan, yang akhirnya akan menghancurkan sendi-sendi kehidupan baik pada diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan bangsa dan negara (Wah.. Ayat macam calon PRU). Apa pun teladanilah Rasulullah yang sentiasa berkata benar, tiada dusta, tiada pembohongan sehingga baginda di gelar sebagai Al Amin, terpercaya lagi dipercayai kerana sifat jujurnya. Wallahu a'lam


Sambungan...Tips Osem Jujur.


Photo: Ehsan Pokcik Google

Sunday, February 19, 2012

BERHIBUR MELEPAS LELAH

Sebulan Ate menyepi tanpa post terbaru. Anak-anak saudara yang pulang bercuti bertanya; "Ate dah tak menulis kat blog lagi ke?" Tak sempat Ate menjawab, Kak Bayu menyampuk, "Ate awak dah pancet pencen dari menulis. Sibuk buat macam-macam kerja...jadi petani...bercucuk tanam di farmville, tukang masak, fashion designer tah apa-apa kerja lagi dibuatnya di alam maya. Kalau lah semua kerja tu boleh mengeluarkan peluh dan bergaji, mesti dah kurus dan kaya Ate awak." (www.menyindir.com) 

Wahai Kak Bayu ku, cuba pandang sesuatu tu dengan pandangan positif, kak. Semua games 'kerja-kerja' yang Ate lakukan tu penting buat penghilang kejenuhan dan kebosanan hidup. Nampak cam tak berpekdah, tapi itulah yang menggembirakan dan menyenangkan hati Ate selain dari makan.

Bergembira dan menghiburkan hati tu adalah salah satu fitrah manusia, tahu? Islam adalah agama yang sejalan dengan realiti dan kehidupan manusia, tidak mengenepikan fitrah  manusia sebagai manusia yang memiliki kecenderungan2 atau keinginan2 dalam jiwa manusia (Tak faham? Tak faham baca lagi berulang-ulang sampai faham). Islam tidak memaksa agar setiap kata yang keluar dari mulut manusia adalah zikir atau setiap diamnya adalah tafakur atau setiap perenungannya adalah ibrah mahupun setiap waktu luangnya adalah ibadah. Tetapi Islam memperluas interaksinya dengan semua hal yang menyentuh fitrah manusia. 

Maka bermain game adalah salah satu cara Ate memelihara fitrah sebagai manusia (Adakah ini alasan yang boleh diterima aqal???). Bergembiralah dan hiburlah diri dengan apa cara pun, ASAL SEMUA nya DALAM BATAS-BATAS YANG TIDAK DIMURKAI ALLAH. SESUAI DENGAN ADAB2 ISLAM DAN ATURAN2NYA. TIDAK MERBAHAYA ATAU MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI apatah lagi ORANG LAIN. TIDAK BERLEBIHAN. TIDAK MELALAIKAN TANGGUNGJAWAB YANG AULA atau UTAMA. SERTA JANGAN SAMPAI MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM, ALAM atau SEGALA MAKHLUK ALLAH DI MUKA BUMI INI. Contohnya, syok main game bila ada sound effect, jadi punyalah bukak speaker kuat2, sehingga mengganggu ketenteraman awam. Kena ada ikhsan lah. Tak pun main masa hujan ribut, di takdir Allah PC kena sambar petir, Boom! Meletup! Terbakar rumah sendiri dan jiran tetangga, tak ke naya? Tu dah masuk memudharat kan diri sendiri dan orang lain.

Setiap orang punya cara tersendiri untuk menggembira/menghiburkan hati. Orang species 'beruang' (bukan beruang keturunan 'bear' tu tapi ber wang/ber duit) mungkin menghiburkan diri dengan melancong melihat keindahan negara orang (macam sahabat kesayangan Ate 'Sesuci Sofi'). 
Orang yang kurang 'beruang' mungkin cukup sekadar mencuci mata membeli dan membelah tingkap (window shopping) di Jusco (macam... err, macam.. pokoknya ramai lah orang yang macam tu). Ada juga 'orang beruang' yang menghiburkan hati cukup sekadar menonton tv di rumah sambil makan popcorn (macam Warren Buffet lelaki ke dua terkaya di dunia).
Ada juga orang samada beruang mahupun tidak, menggembirakan/menghiburkan diri cukup dengan bergurau senda dan bermain bersama anak-anak. 
Ada pula orang menggembirakan hati dengan makan dan makan dan makan (macam familiar jer orang species ni). 
Pelbagai orang, pelbagai cara menghiburkan diri kerana menghiburkan diri itu mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa khususnya dalam memperbaharui semangat. Sebagaimana Abu Darda pernah berkata; "Sungguh, aku mengistirehatkan hatiku dengan sesuatu yang menghiburkan, agar dia semakin menguatkan aku dalam mengharungi kebenaran." 

Moga dalam kita menghiburkan diri, ianya tidak melalaikan kita sebaliknya ianya hanyalah sekadar kerehatan sebentar untuk membangkitkan semangat dalam bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Yup. Moga-moga selepas 'berhibur' Ate akan lebih bersemangat untuk terus menulis di blog dan melaksanakan pelbagai kerja2 amal dan dakwah. Amin.


(Inspirasi: Menghibur diri dengan Kurnia-kurnia Keindahan)

Tuesday, January 17, 2012

DAIRI HIDUP SIHAT & ISTIQOMAH

Minggu pertama:
Aerobic Riang Ria dengan penuh semangat (Positive thinking).
Menu Sihat: Salad Satu Mangkuk Besar. 
Penyeksaan mental + tekak.
Dengan penuh ketabahan Ate perabiskan telan juga.
Alhamdulillah, kurang 2kg. Penurunan yang memberangsangkan.

Minggu kedua dan ketiga (Alhamdulillah masih Istiqamah):
Aerobic + Sit Up 100 kali dengan gigih.
Hasilnya lumayan...Menderita lenguh seluruh badan. 
Nak kurus sihat memang kena korban sakit sikit.
Bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, berslim slim bersenang-senang kemudian.
Menu Sihat: Salad + Sedikit hirisan ayam berempah.
Kurang 1kg + 1kg = 2kg lagi. Alhamdulillah semangat masih berkobar. 
Ganbatte ne!

Minggu keempat dan ke lima:
Tepuk-tepuk tangan jer sambil Lompat-lompat sikit.
Menu Sihat: Salad. (Lagi???)
Kurang 5kg 500gram. Alhamdulillah badan tangan mula terasa lebih ringan.

Minggu ke enam: 
Menu sihat: 3 sudu Nasi + 3 Senduk besar sayur.
Senaman? Kali ini dilakukan secara berjemaah.
Bersama-sama Baim, Ate
Berenang Gaya Bebas di atas katil sambil pejam-pejam mata -_-.
Alhamdulillah kurang satu dua beberapa gram lagi.

Minggu ke tujuh?
Uppss...Blackout! (Ishh.. Baru minggu ke tujuh dah give up?)
Dairi Hidup Sihat ini sedang mengalami gangguan bekalan tenaga semangat 
buat sementara waktu. 
Kerja-kerja baik pulih semangat agar terus istiqamah sedang di jalankan dengan giatnya.
Mohon maaf di atas segala kekecewaan anda untuk melihat Ate slim.
Kesabaran anda amat dihargai.
*****
Ternyata dalam apa juga pekerjaan atau amal yang kita lakukan, semangat sahaja tidak mencukupi. Perlu ada consistency (Istiqamah). Namun yang namanya istiqamah itu memang tak mudah, tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil juga. Harus ada semangat 'berjuang' yang tinggi (Himmah), diiringi kesabaran dan keteguhan hati (Tsabat). Bertahan, tak tergoyah oleh apa pun umpama batu karang yang tetap teguh di terpa ombak. Itulah istiqamah.

Wahai Ate, LANGKAH BERMULA telah pun diayun (dalam semua hal, baik dalam merubah gaya makan hidup ke arah yang lebih sihat, baik dalam soal menulis blog, baik dalam pelaksanaan amal ibadah mahupun berada di jalan dakwah ini) teruslah melangkah jangan sampai terhenti di tengah jalan. Bingung, malas, letih, lelah dan kekecewaan pasti menghambat perjalanan, mohonlah kekuatan dari Nya, agar dapat terus bertahan sampai ke penghujung jalan. Keep Hamasah! Keep Istiqamah!

Monday, January 9, 2012

CINTA SAMPAI MATI

Atas nama cinta.
Romeo mati kerana cintanya kepada Juliet. 
Qarun mati kerana cintanya kepada harta. 
Fir'aun mati kerana cintanya kepada takhta. 
Manakala Hamzah, Jaafar dan Hanzhalah mati, 
kerana cintanya kepada Allah dan Rasul Nya. 
Atas nama Cinta... 
Bagaimanakah akhirnya hidup kita?

Atas nama cinta.
Cinta lah dan mencintai.
Siapa pun dan apa pun.
Namun hakikatnya, tiada cinta yang abadi. 
Tiada cinta sampai mati, melainkan amal soleh.
Sesungguhnya, 
hanya amal soleh yang akan setia bersama kita... 
sampai mati.
(Inspirasi Cinta - Ali Imran:14)
Tokyo Turkish Mosque

Thursday, January 5, 2012

BANGUNLAH! BERKARYA SELEBAR ANGAN & SETINGGI IMPIAN

Sudah cukup lama 'dia' coma. Memandang ke arahnya yang kaku, pucat tak bermaya, ada suatu perasaan pilu menjalar di hati ini. Perlahan-lahan, Ate menghampiri 'dia'. Sambil menggenggam kedua tangan, Ate berusaha membangunkan 'dia'. 


"Buka matamu, bangkitlah dari tidur yang lena. Telah cukup lama kamu berehat, padahal kamu sangat mengerti bahawa tiada kerehatan yang hakiki melainkan kematian. Kamu masih bernafas, maka usah kamu sia-siakan nikmat hidup yang telah Allah berikan pada mu. Alangkah ruginya kamu membiarkan peluang  kebaikan yang terbentang luas di hadapan, terkubur begitu sahaja. Masih ingatkah kamu akan janji kita untuk berkarya dengan selebar-lebarnya angan yang digantung bersama setinggi-tingginya impian? Lupa kah kamu bahawa kita bukannya membina impian di Negeri Dongeng yang penuh khayalan sehingga menjadikan kamu terus tidur, bermimpi tanpa beramal. Kalau kamu memahami apa yang aku katakan ini, balaslah genggaman tangan ku, bersama-sama kita berusaha, menutup rapat lorong kelalaian dan kemalasan.... AYUH BANGKITLAH! WAHAI SEMANGAT KU."

Ya pemilik blog ini masih lagi bernafas di bumi Allah. Hanya semangatnya sahaja yang coma. Mohon doa... agar semangat Ate untuk berblog kembali berdesup...Zussss!


Mendengar, Membaca dan Melihat 
kisah adik-adik di bumi Sakura ini 
membangkitkan semangat Ate untuk terus berblog.
Ganbatte ne.

Monday, November 14, 2011

TAK NAK UBAT, NAK MC AJA DI...

"Doktor, saya tak sihat." (Pesakit)
"Biar saya check, nanti saya bagi ubat ya." (Doktor)
"Tak pe, tak pe doktor. Saya tak nak ubat. Saya cuma nak minta cuti jer." (Pesakit)
"Cuti???" (Doktor)
"Ya, cuti." (Pesakit)
"Nak minta cuti apa kat tempat ni?" (Doktor)
"Cuti dari buat WUKUF DI ARAFAH nanti." (Pesakit @ Jemaah Haji di Mekah)
"Huhh??"
Gedubrakkk
Fingzan, fingzann doktoi.
Nak bagi MC kat siapa ya? Pada Allah ke?
Lucu? Aneh? Merepek? 
Tapi ini adalah kisah benar, bukan rekaan. 
Moga Allah memberi petunjuk Nya kepada jemaah haji tersebut.
*************
Wukuf di Arafah pada 9 Dzulhijjah adalah rukun haji yang terpenting (rukun akhbar). Ertinya tidak sah ibadah haji seseorang jika tidak melaksanakannya. Apa istimewanya padang Arafah yang tandus, dikelilingi bukit-bukit berbatu yang gersang dan di penuhi tanah berdebu? Di sini adalah tempat dimana Nabi Adam dan Hawa dipertemukan semula oleh Allah setelah diusir dari syurga. Di sinilah jua doa taubat pertama dilafazkan oleh umat manusia, Nabi Adam dan Hawa: "Rabbana zolamna anfusana wa in lam taghfir lana wa tarhamna lanakunanna minal khosirin." (Ya Tuhan kami. Sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni dosa-dosa kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.)

Wednesday, November 9, 2011

RABU HARI TUNJUK-TUNJUK GAMBAR

Baim buat project sorang-sorang.
 (Sila Perhatikan Perut Baim :D)

Abang Smile datang memberikan kerjasama.
Mengorek berjamaah.

 LENGKONG Mangsa Korek yang sempat diselamatkan.
*************
"Salah satu hikmah Qurban adalah cinta dan kasih sayang kita kepada sesama manusia harus didahulukan daripada menuntutnya." SHL

Sunday, November 6, 2011

BERKURBAN APA SAJA

Wahai 'putera-putera kami' Ibrahim dan Ismaeil,
Hayatilah kisah kurban nabi Allah, Ibrahim dan Ismail sebagai BUKTI CINTA mereka KEPADA ALLAH. KEIKHLASAN TAAT dan kehebatan cinta mereka telah pun Allah abadikan di dalam surah As Saffat:102-111. Moga suatu hari nanti nak, kamu berdua juga dapat membuktikan keikhlasan cinta dan ketaatan kepada Allah dalam setiap ibadah, amal soleh dan akhlak kalian sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
*************
Salah satu hikmah berkurban adalah bersyukur dengan menyedari bahawa sesungguhnya kita tidak pernah berkurban apa pun kerana semuanya milik Allah.  "Sungguh, kami telah memberimu nikmat yang banyak. Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkurbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah)". (108: 1-3)

(SaHaL)

Friday, November 4, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Assalamualaikum wr wb.
Salam Jumaat penuh berkah. 
Esok hari Sabtu. Lusa hari Ahad. Ahad raya haji, raya kurban - Aidil Adha. Ramai balik kampung. Sembelih lembu. Sembelih kambing. Sembelih ayam. Lembu dan kambing dikorbankan sebagai menyempurnakan ibadah Qurban. Ayam dikorbankan sebagai menyempurnakan keperluan perut-perut manusia. Dalam keseronokan nak menyambut Aidil Adha jangan lupa beberapa perkara:
Pertama: Bagi sesiapa yang nak balik kampung (ada yang dah balik hari ni), Berhati-hatilah di jalanraya. Jangan lupa baca doa naik kenderaan. Jangan pandu laju nanti kena saman. Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah wajah-wajah kambing dan lembu kurban yang sedang menanti anda di kampung.

Kedua: Esok, hari Sabtu 9 Dzulhijjah, adalah hari offer untuk pelupusan dosa tahun lepas dan tahun sesudahnya. Hari meng erase dosa. Mari lah rebut tawaran yang hebat ni. Ajak ahli keluarga beramai-ramai. Bangun awal pagi sebelum subuh, untuk sahur, lalu tunaikanlah Puasa Arafah kerana dari Abi Qotadah ra, ketika ditanya tentang puasa Arafah, Rasulullah saw bersabda: "Dikaffarah (diampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang." (HR Muslim). (Puasa Arafah ini kurang sesuai bagi sesiapa yang merasakan diri mereka telah bersih dari dosa untuk 2 tahun tersebut. Boleh gitu? Astaghfirullah)
"Allah, ajarkan kami bahawa dalam keikhlasan BERKORBAN terdapat kenikmatan penuh keimanan yang kami rindukan. Eid Mubarak."


Note: Esok, Insyallah Ate akan menyinggah ke rumah maya teman-teman. Sehari dua ni sibuk sedang update blog list teman-teman.

Photo Ehsan Pokcik Goggle

Thursday, November 3, 2011

AKTIVITI BERSAMA BAPAK MITHALI

Alhamdulillah, sejak Bomoh Bijan membuka klinik sendiri, bapak 2 Bujang Senang bertukarrr menjadi Baja Satria Hitam bapak yang LEBIH baik dan bertanggungjawab. Oleh kerana mama sibuk dan tak mahu anak-anak merasa diabaikan, mama telah memaksa bapak meluangkan masa yang lebih untuk anak-anak. Jom kita tengok, apa Project atau aktiviti yang selalu Bapak Mithali 2 Bujang Sengal Senang (2 BS) ni buat bersama anak-anaknya. 

Balik aja sekolah, bapak akan beli bermacam-macam makanan dari kantin sekolah untuk anak-anak. Tukang Perabis binti Pelahap pastilah Ate, sedap ooo.. makanan kantin sekolah especially nasi goreng / mee bodoh. Pas makan, solat dan rehat sekejab, biasanya bapak ajak anak-anak keluar. Anak-anak memang suka tahap gila, melompat-lompat sambil tarik-tarik rambut seronok, maklumlah tenaga budak-budak kan banyak, mestilah tak suka terperap aja dalam rumah. Pergi bank, service keta, pegi pejabat pos mahupun pegi latihan rugby di sekolah, bapak sentiasa bawa 2 BS. 
Selain tu bapak juga rajin bawak 2 BS, Ate, Kak Bayu dan nenek pergi...
Shopping di JUSCO
Lagi?

Menunggang Kuda Gajah
di JUSCO.

Lagi?
Main-main
di food court JUSCO (Jusco adalah rumah kedua keluarga kami)
sambil Ate makan-minum 
kopi O kaw, roti bakar cecah telur rebus separuh masak.
Lagi?

Main besikal
dalam rumah di padang.
Lagi?

Main panjat-panjat
di ampaian baju monkey bar.
Lagi?

Ohh ini paling best.
Project atau aktiviti Bapak & Anak yang paling sengal keren dan hebat adalah....
BERENANG! 
YEAY!

Kat kolam umah kawan abah ke?
Bukan!

Kat kolam umah kita macam ni?
BUKAN!
Habis tu?
*
*
*
Macam ni?
Yesss!


Tapi jangan takut... Ini fun punya aktiviti, 
tak ada paus,
tak ada ong bak ombak,
tak ada bahaya,
tak ada air.
Macam ni...

Musim hujan nak, ko berdua berenang ajalah atas tikar dalam rumah.
Ya, Cikgu BULPEN, si adik Ate memang tersangatlah sengal seperti 2 BS, anaknya ini. 
Mujur Ate tak sengal.
*************
- "Salah satu sebab kenakalan anak-anak (remaja) adalah ayah yang tidak berperanan sepenuhnya sebagai ayah, kecuali hanya pada hari minggu." (Satria Hadi Lubis)

- "Ayah tidak memberitahuku bagaimana cara untuk hidup tetapi membiarkan aku melihat bagaimana melakukannya." (Clarence Budington Kelland)

- "Father, when I was a child you impressed on my heart and mind the fear of the last Day. You never scolded me, but your daily life was an example for me of a man always aware of the Day of Acconting." Syed Qutb

Wednesday, November 2, 2011

MARI MENDENGAR CERITA TENTANG REZEKI

Di ceritakan dari Dede Farhan tentang seorang penjual bakso yang berjualan 'keliling' di kawasan perumahan (seperti photo di bawah). Pada satu hari, setelah membayar bakso yang dibeli, dia merasa hairan melihat tukang bakso itu memisah-misahkan duit hasil jualan. Sebahagian di simpan di laci, sebahagian di dompet dan sebahagian lagi disimpannya di tin biskut.
"Kenapa dipisahkan-pisahkan duit nya bang?" Terpancul soalan dari mulut Farhan. 

"Ohh, ini sudah kebiasaan sejak saya berjualan bakso hampir 17 tahun lalu, Incik. Saya memisahkannya mengikut 'hak-hak' tertentu. Yang dalam dompet ni hak saya dan keluarga untuk kami memenuhi keperluan hidup sehari-hari. Yang dalam laci ini hak untuk orang lain iaitu infaq, sedekah dan melaksanakan ibadah Qurban. Dan Alhamdulillah selama 17 tahun menjadi tukang bakso, saya selalu dapat Qurban seekor kambing meskipun kambing nya ukuran sederhana sahaja. Sedangkan duit yang masuk ke tin ini adalah peruntukan tabungan ibadah haji iaitu hak cita-cita saya dalam menyempurnakan rukun Islam. Selama 17 tahun menabung, sekitar dua tahun lagi saya dan isteri Insyallah dapat melaksanakan ibadah haji."

"Alhamdulillah, bagus apa yang abang lakukan itu. Tapi... ibadah haji itukan hanya wajib bagi yang berkemampuan, bang."

"Betul tu Incik, tapi soal mampu atau tidak itu bukan milik orang tertentu. Kalau kita rasa diri kita tidak mampu, sampai bila pun kita tidak akan mampu. Kerana itu kita kena yakin kita mampu, Insyallah dengan segala kekuasaan Allah maka Dia akan memberi kemampuan pada kita." 
Ambil lah pelajaran dari si tukang bakso Ate.
Ate terhenyak membaca kisah benar ini. Infaq dan sedekah Ate ala kadarnya. Ibadah Qurban ditunaikan sekali sekala. Simpanan untuk menunaikan ibadah haji?? Jauh sekali simpan korek, simpan korek, korek, korek, simpan, korek lagi. Alasannya (lagi-lagi alasan) gaji kecik, duit tiap bulan sentiasa tak cukup. Sedih sekali Ate tidak punya fikiran dan perancangan yang indah seperti tukang bakso tersebut.

Rezeki bagaikan jodoh, ianya merupakan suatu misteri milik Allah. Jumlah besar tak semestinya cukup dibanding jumlah kecil, kerana dalam soal rezeki ada faktor 'jumlah' dan 'berkah'. Bukan banyak sikitnya duit atau harta yang utama, tapi keberkahan lah yang menjadikan kita orang yang bersyukur dengan apa juga jatah rezeki yang Allah kurniakan. Jika berkah, faktor jumlah menjadi relatif.
*********
- Ate berhitung-hitung, 'petua ibadah Qurban setiap tahun' Kak Bayu, satu hari simpan RM1, satu tahun RM365. Cukup benar nak Qurban.
- Senyum sumbang sumbing Ate malam tadi dengar pertanyaan yg dikemukakan dalam rancangan Lambaian Kaabah TV1... "Bank Rakyat boleh tak beri pinjaman RM40k atau RM50k untuk orang yang nak pergi haji?" Tak pa lah, tak tahu kenalah bertanya ya tak?

INSPIRASI TARBAWI: EDISI 259
Photo Ehsan Pokcik Google

RABU TANPA KATA-KATA HANYA ADA DOA

"Ya Allah, Tuhan yang Maha Melindungi. Lindungilah anak-anak kami dalam naungan kasih sayang Mu. Jadikanlah mereka orang-orang yang sentiasa menegakkan solat dan selalu berada di jalan Mu yang lurus. Kumpulkanlah Al Quran di dada mereka. Jadikanlah hati bagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah kesempatan, agar mereka menjadi bagian dari para pembebas Al Quds. Amin ya Robbal 'Alamin."
Ku untai doa di setiap waktu. 
Buat anak-anak tercinta. 
Bagi setiap kalimah pengharapan dalam doa. 
Moga kasih ini tertanam dalam.
Dalam dakapan cinta kita kerana Allah,
menghimpunkan kita di syurga nanti.