Pages

Search This Blog

Monday, February 20, 2012

ANTARA SIAKAP SENOHONG DAN AL AMIN

Pernah tengok citer di atas? Zookeeper, lakonan Kevin James. Ate tak minat sangat nak menonton citer tu, tapi Imad (anak sedara) sibuk dok pujuk minta temankan dia, jadi Ate tontonlah walau dalam keadaan separa sedar (ngantuk..pasal makan piriton). Ada satu adegan menarik perhatian Ate iaitu ketika James bersembang dengan Gorilla bernama Bernie yang dikurung di kandang tertutup atas tuduhan KONONnya dia menyerang Shane, sorang lagi zoo keeper. Atas 'fitnah' itu, Bernie kata dia dah tak percayakan manusia lagi. "I guess that's just what human do. They lie." Manusia selalu berbohong? Betul ke kata si Bernie Gorilla tu?

Jom kita semak balik kehidupan kita sehari-hari. Ada tak kita berbohong? Tak ada? Ye ke tak de? Pasti? Dengan anak? Anak usia 3 tahun tengok kita sibuk keletak keletuk depan PC/Laptop/Tablet Mobile, anak bertanya, "Ayah main game apa?" "Ishhh.. Mana ade. Ayah tak main, ayah wat keja." "Ayah wat keja game apa?" Haaa...Kantoi. Ayah terperangkap dengan pembohongan cover line (PCL). (Anak zaman sekarang cerdik weiii, betul tak Pn Aimi?? Hehehe). 

Antara suami isteri? "Abang, bila nak kuar office jemput ayang ni?" "OTW, OTW." Padahal belum keluar pun dari pintu opis. Pembohongan penyelamatan diri (PPD): Biasa di lakukan untuk keharmonian rumahtangga. Dengan salesman yang datang rumah, dengan spontan binti selamba kita melaung dari celah tingkap, "Mak tak de." atau "Ibu, nggak ada di rumah, saya bibik aja." Itu namanya Pembohongan Malas Layan (PML). 

Bagaimana dengan jiran? Sesama teman sepejabat/sekerja? Dengan boss? Dengan pelanggan? Dengan rakyat??? Siapa lagi? Dalam kita berinteraksi sesama manusia dengan siapa kita tidak pernah berbohong? Mane ade? Kita tak pernah bohong tau... Kita cuma bohong sunat jer.  Oho, kerana ingin menghalalkan sesuatu maka kita merekayasa istilah bohong sunat. 

Pepatah Melayu ada mengatakan; "Siakap senohong. Gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri." Pepatah ini ada benarnya. Pembohongan demi pembohongan akan menyeret kepada keburukan demi keburukan sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Hendaklah kamu semua bersifat jujur (benar), kerana kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa jujur dan mencari kejujuran akan ditulis oleh Allah sebagai seorang yang jujur (Siddiq). Dan jauhilah sifat bohong kerana kebohongan akan mengarah pada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Orang yang selalu berbohong dan mencari-cari kebohongan akan ditulis oleh Allah sebagai pendusta". (HR Bukhari-Muslim dari Ibnu Mas'ud)

Teringat Ate tentang kisah pada zaman Rasulullah saw. Ada seseorang yang terkenal dengan sikap suka melakukan maksiat, nak masuk Islam. Lalu dia pun berjumpa dengan Rasulullah. Dia cakap, "Ya Muhammad, aku ni nak masuk Islam. Tapi kan, aku masih suka nak lakukan maksiat. Camne ek?" Rasullullah mempersilakan orang tu tuk masuk Islam dan lakukanlah apa juga perkara yang dia suka tapi dengan satu syarat: JANGAN BERBOHONG.

"Satu jer? Laa.. Senang sangat nak masuk Islam ni. Okay lah, aku setuju." Tanpa ragu-ragu, dia pun masuk Islam. Selepas tu, Rasulullah selalu bertemu dengan dia dan bertanya, apa yang dia lakukan setiap hari. Orang tu serba salah bila setiap kali ditanya, dia terpaksa mengaku dia melakukan maksiat sekian, sekian. Nak berbohong, tak boleh, pasal dia dah berjanji dengan Rasulullah untuk tidak berbohong. Akhirnya setiap kali dia nak melakukan maksiat, dia fikir beribu kali... Takut nanti bila Rasulullah tanya, malu lah dia nak menjawab. Dipendekkan cerita, akhirnya dia mula meninggalkan perbuatan maksiat dan rajin beribadah.


Haa.. Nampak tak bagaimana dengan sifat jujur/berkata benar/tidak berbohong itu, meninggalkan impak yang positif? Pelaku maksiat pun berubah menjadi orang yang baik. Sebab tu hobi berbohong ni tak boleh dijadikan kebiasaan. Bukan sahaja sebab berdosa, tapi bila dah jadi habit, pembohongan demi pembohongan akan mengakibatkan terhakisnya kejujuran. Tanpa kejujuran, akan menimbulkan krisis kepercayaan, yang akhirnya akan menghancurkan sendi-sendi kehidupan baik pada diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan bangsa dan negara (Wah.. Ayat macam calon PRU). Apa pun teladanilah Rasulullah yang sentiasa berkata benar, tiada dusta, tiada pembohongan sehingga baginda di gelar sebagai Al Amin, terpercaya lagi dipercayai kerana sifat jujurnya. Wallahu a'lam


Sambungan...Tips Osem Jujur.


Photo: Ehsan Pokcik Google

Sunday, February 19, 2012

BERHIBUR MELEPAS LELAH

Sebulan Ate menyepi tanpa post terbaru. Anak-anak saudara yang pulang bercuti bertanya; "Ate dah tak menulis kat blog lagi ke?" Tak sempat Ate menjawab, Kak Bayu menyampuk, "Ate awak dah pancet pencen dari menulis. Sibuk buat macam-macam kerja...jadi petani...bercucuk tanam di farmville, tukang masak, fashion designer tah apa-apa kerja lagi dibuatnya di alam maya. Kalau lah semua kerja tu boleh mengeluarkan peluh dan bergaji, mesti dah kurus dan kaya Ate awak." (www.menyindir.com) 

Wahai Kak Bayu ku, cuba pandang sesuatu tu dengan pandangan positif, kak. Semua games 'kerja-kerja' yang Ate lakukan tu penting buat penghilang kejenuhan dan kebosanan hidup. Nampak cam tak berpekdah, tapi itulah yang menggembirakan dan menyenangkan hati Ate selain dari makan.

Bergembira dan menghiburkan hati tu adalah salah satu fitrah manusia, tahu? Islam adalah agama yang sejalan dengan realiti dan kehidupan manusia, tidak mengenepikan fitrah  manusia sebagai manusia yang memiliki kecenderungan2 atau keinginan2 dalam jiwa manusia (Tak faham? Tak faham baca lagi berulang-ulang sampai faham). Islam tidak memaksa agar setiap kata yang keluar dari mulut manusia adalah zikir atau setiap diamnya adalah tafakur atau setiap perenungannya adalah ibrah mahupun setiap waktu luangnya adalah ibadah. Tetapi Islam memperluas interaksinya dengan semua hal yang menyentuh fitrah manusia. 

Maka bermain game adalah salah satu cara Ate memelihara fitrah sebagai manusia (Adakah ini alasan yang boleh diterima aqal???). Bergembiralah dan hiburlah diri dengan apa cara pun, ASAL SEMUA nya DALAM BATAS-BATAS YANG TIDAK DIMURKAI ALLAH. SESUAI DENGAN ADAB2 ISLAM DAN ATURAN2NYA. TIDAK MERBAHAYA ATAU MEMUDARATKAN DIRI SENDIRI apatah lagi ORANG LAIN. TIDAK BERLEBIHAN. TIDAK MELALAIKAN TANGGUNGJAWAB YANG AULA atau UTAMA. SERTA JANGAN SAMPAI MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM, ALAM atau SEGALA MAKHLUK ALLAH DI MUKA BUMI INI. Contohnya, syok main game bila ada sound effect, jadi punyalah bukak speaker kuat2, sehingga mengganggu ketenteraman awam. Kena ada ikhsan lah. Tak pun main masa hujan ribut, di takdir Allah PC kena sambar petir, Boom! Meletup! Terbakar rumah sendiri dan jiran tetangga, tak ke naya? Tu dah masuk memudharat kan diri sendiri dan orang lain.

Setiap orang punya cara tersendiri untuk menggembira/menghiburkan hati. Orang species 'beruang' (bukan beruang keturunan 'bear' tu tapi ber wang/ber duit) mungkin menghiburkan diri dengan melancong melihat keindahan negara orang (macam sahabat kesayangan Ate 'Sesuci Sofi'). 
Orang yang kurang 'beruang' mungkin cukup sekadar mencuci mata membeli dan membelah tingkap (window shopping) di Jusco (macam... err, macam.. pokoknya ramai lah orang yang macam tu). Ada juga 'orang beruang' yang menghiburkan hati cukup sekadar menonton tv di rumah sambil makan popcorn (macam Warren Buffet lelaki ke dua terkaya di dunia).
Ada juga orang samada beruang mahupun tidak, menggembirakan/menghiburkan diri cukup dengan bergurau senda dan bermain bersama anak-anak. 
Ada pula orang menggembirakan hati dengan makan dan makan dan makan (macam familiar jer orang species ni). 
Pelbagai orang, pelbagai cara menghiburkan diri kerana menghiburkan diri itu mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa khususnya dalam memperbaharui semangat. Sebagaimana Abu Darda pernah berkata; "Sungguh, aku mengistirehatkan hatiku dengan sesuatu yang menghiburkan, agar dia semakin menguatkan aku dalam mengharungi kebenaran." 

Moga dalam kita menghiburkan diri, ianya tidak melalaikan kita sebaliknya ianya hanyalah sekadar kerehatan sebentar untuk membangkitkan semangat dalam bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Yup. Moga-moga selepas 'berhibur' Ate akan lebih bersemangat untuk terus menulis di blog dan melaksanakan pelbagai kerja2 amal dan dakwah. Amin.


(Inspirasi: Menghibur diri dengan Kurnia-kurnia Keindahan)

Tuesday, January 17, 2012

DAIRI HIDUP SIHAT & ISTIQOMAH

Minggu pertama:
Aerobic Riang Ria dengan penuh semangat (Positive thinking).
Menu Sihat: Salad Satu Mangkuk Besar. 
Penyeksaan mental + tekak.
Dengan penuh ketabahan Ate perabiskan telan juga.
Alhamdulillah, kurang 2kg. Penurunan yang memberangsangkan.

Minggu kedua dan ketiga (Alhamdulillah masih Istiqamah):
Aerobic + Sit Up 100 kali dengan gigih.
Hasilnya lumayan...Menderita lenguh seluruh badan. 
Nak kurus sihat memang kena korban sakit sikit.
Bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, berslim slim bersenang-senang kemudian.
Menu Sihat: Salad + Sedikit hirisan ayam berempah.
Kurang 1kg + 1kg = 2kg lagi. Alhamdulillah semangat masih berkobar. 
Ganbatte ne!

Minggu keempat dan ke lima:
Tepuk-tepuk tangan jer sambil Lompat-lompat sikit.
Menu Sihat: Salad. (Lagi???)
Kurang 5kg 500gram. Alhamdulillah badan tangan mula terasa lebih ringan.

Minggu ke enam: 
Menu sihat: 3 sudu Nasi + 3 Senduk besar sayur.
Senaman? Kali ini dilakukan secara berjemaah.
Bersama-sama Baim, Ate
Berenang Gaya Bebas di atas katil sambil pejam-pejam mata -_-.
Alhamdulillah kurang satu dua beberapa gram lagi.

Minggu ke tujuh?
Uppss...Blackout! (Ishh.. Baru minggu ke tujuh dah give up?)
Dairi Hidup Sihat ini sedang mengalami gangguan bekalan tenaga semangat 
buat sementara waktu. 
Kerja-kerja baik pulih semangat agar terus istiqamah sedang di jalankan dengan giatnya.
Mohon maaf di atas segala kekecewaan anda untuk melihat Ate slim.
Kesabaran anda amat dihargai.
*****
Ternyata dalam apa juga pekerjaan atau amal yang kita lakukan, semangat sahaja tidak mencukupi. Perlu ada consistency (Istiqamah). Namun yang namanya istiqamah itu memang tak mudah, tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil juga. Harus ada semangat 'berjuang' yang tinggi (Himmah), diiringi kesabaran dan keteguhan hati (Tsabat). Bertahan, tak tergoyah oleh apa pun umpama batu karang yang tetap teguh di terpa ombak. Itulah istiqamah.

Wahai Ate, LANGKAH BERMULA telah pun diayun (dalam semua hal, baik dalam merubah gaya makan hidup ke arah yang lebih sihat, baik dalam soal menulis blog, baik dalam pelaksanaan amal ibadah mahupun berada di jalan dakwah ini) teruslah melangkah jangan sampai terhenti di tengah jalan. Bingung, malas, letih, lelah dan kekecewaan pasti menghambat perjalanan, mohonlah kekuatan dari Nya, agar dapat terus bertahan sampai ke penghujung jalan. Keep Hamasah! Keep Istiqamah!

Monday, January 9, 2012

CINTA SAMPAI MATI

Atas nama cinta.
Romeo mati kerana cintanya kepada Juliet. 
Qarun mati kerana cintanya kepada harta. 
Fir'aun mati kerana cintanya kepada takhta. 
Manakala Hamzah, Jaafar dan Hanzhalah mati, 
kerana cintanya kepada Allah dan Rasul Nya. 
Atas nama Cinta... 
Bagaimanakah akhirnya hidup kita?

Atas nama cinta.
Cinta lah dan mencintai.
Siapa pun dan apa pun.
Namun hakikatnya, tiada cinta yang abadi. 
Tiada cinta sampai mati, melainkan amal soleh.
Sesungguhnya, 
hanya amal soleh yang akan setia bersama kita... 
sampai mati.
(Inspirasi Cinta - Ali Imran:14)
Tokyo Turkish Mosque

Thursday, January 5, 2012

BANGUNLAH! BERKARYA SELEBAR ANGAN & SETINGGI IMPIAN

Sudah cukup lama 'dia' coma. Memandang ke arahnya yang kaku, pucat tak bermaya, ada suatu perasaan pilu menjalar di hati ini. Perlahan-lahan, Ate menghampiri 'dia'. Sambil menggenggam kedua tangan, Ate berusaha membangunkan 'dia'. 


"Buka matamu, bangkitlah dari tidur yang lena. Telah cukup lama kamu berehat, padahal kamu sangat mengerti bahawa tiada kerehatan yang hakiki melainkan kematian. Kamu masih bernafas, maka usah kamu sia-siakan nikmat hidup yang telah Allah berikan pada mu. Alangkah ruginya kamu membiarkan peluang  kebaikan yang terbentang luas di hadapan, terkubur begitu sahaja. Masih ingatkah kamu akan janji kita untuk berkarya dengan selebar-lebarnya angan yang digantung bersama setinggi-tingginya impian? Lupa kah kamu bahawa kita bukannya membina impian di Negeri Dongeng yang penuh khayalan sehingga menjadikan kamu terus tidur, bermimpi tanpa beramal. Kalau kamu memahami apa yang aku katakan ini, balaslah genggaman tangan ku, bersama-sama kita berusaha, menutup rapat lorong kelalaian dan kemalasan.... AYUH BANGKITLAH! WAHAI SEMANGAT KU."

Ya pemilik blog ini masih lagi bernafas di bumi Allah. Hanya semangatnya sahaja yang coma. Mohon doa... agar semangat Ate untuk berblog kembali berdesup...Zussss!


Mendengar, Membaca dan Melihat 
kisah adik-adik di bumi Sakura ini 
membangkitkan semangat Ate untuk terus berblog.
Ganbatte ne.